3.9.12

Kisah Zulfadli dan Nur Aina : Episod 3

Dalam perhubungan yang singkat itu, sudah beberapa kali sebenarnya Zulfadli memendam rasa ekoran perbuatan Nur Aina yang kadangkala bagi Zulfadli seakan-akan Nur Aina tidak langsung faham akan isi hatinya. Sebenarnya, seminggu sebelum kejadian sedih yang menimpa diri Zulfadli tu, mereka berdua telah bergaduh - yang boleh dikatakan agak terbesar dalam hubungan mereka. Itupun terjadi di hari pertama mereka berjumpa setelah masing-masing tidak berjumpa selama 2 minggu.

Zulfadli memang ingin sangat berjumpa Nur Aina kerana sudah 2 minggu tidak bertentang mata dengan gadis pujaannya itu. Maka pada hari itu, dipastikan oleh Zulfadli tidak akan ada sebarang gangguan yang boleh menggagalkan pertemuan dengan Nur Aina. Dengan senang hati, terus saja Zulfadli memandu menuju ke rumah Nur Aina dan seterusnya keluar menghabiskan masa dengan Nur Aina.

Pada mulanya semua okay, sampailah satu masa setelah selesai makan Zulfadli kehilangan idea mahu ke mana. Yela, hari masih petang dan awal, jadi semahunya dia ingin menghabiskan masa dengan Nur Aina sepuas-puasnya. Tapi tak semena-mena Nur Aina seperti ingin pulang ke rumah dengan segera - seperti ada rancangan lain pula yang ingin dilakukan olehnya. Sebelum itu Nur Aina ada memberitahu bahawa mungkin malam itu dia akan keluar melepak dengan kawan-kawan di sini.

"Ok wak, nak ke mana pulak lepas ni? Takkan nak balik kot, awal lagi ni," tanya Zulfadli.

"Entahlah, takde idea la wak,"jawab Nur Aina.

Dalam masa yang sama, tak henti-henti tangan Nur Aina berbalas sms dengan rakannya. Siapa rakan Nur Aina, Zulfadli tak ingin ambil tahu. Zulfadli terus memandu dengan sabar tanpa arah tujuan, dalam kepala berputar ligat mencari idea ke mana destinasi seterusnya.

"Eh,kita nak ke mana ni wak?" soal Nur Aina.

"Tak tau la wak, tu yang saya main jalan je. Nak balik pun awal lagi ni," balas Zulfadli, mengharap agar Nur Aina faham kehendak hatinya.

"Kalau macam tu balik je la, boleh la saya tidur kejap. Lagipun letih ni, boleh la rehat kejap" kata Nur Aina.

"Hmm,yela. Cakap je la awak tu nak balik, sebab nak keluar lepak dengan kawan-kawan malam ni kan?? Terus terang je, tak payah guna alasan macam tu. Saya pun takde hal kalau awak mengaku," balas Zulfadli, sedikit keras.

"Mana adaaa..." jawab Nur Aina.

"Dah tu, tadi awak bagitahu kat saya kawan awak cakap kalau boring text la dia, boleh la lepak. Betul tak?" balas Zulfadli.

Sepi. Tiba-tiba dalam kereta suasana yang sebelumnya ceria bertukar menjadi sepi. Manakan tidak, Zulfadli betul-betul beria hendak habiskan masa dengan Nur Aina, alih-alih jadi begini. Jadi dengan hati yang panas terus saja Zulfadlu memandu ke rumah Nur Aina dan dalam masa yang sama terus saja dia mendail nombor salah seorang sahabat, semata-mata mahu menunjuk kepada Nur Aina yang dia juga mempunyai kawan yang boleh diajak untuk melepak.

"Siapa tu?" tanya Nur Aina.

"Kawan la, saya pun ada kawan jugak. Lepas ni boleh singgah lepak dengan dia kejap, alang-alang nak balik rumah kan, lagipun awal lagi ni," jawab Zulfadli acuh tak acuh.

"Hmmm,okayyyy..." balas Nur Aina.

Rupa-rupanya, ada juga rasa tidak puas hati Zulfadli dengan apa yang dilakukan oleh Nur Aina.

Bagi Zulfadli, dia langsung tidak mahu menghalang ataupun masuk campur dalam kehidupan peribadi Nur Aina, dan itu juga bukan hak Zulfadli untuk mencampuri urusan peribadi Nur Aina. Tapi sekurang-kurangnya, fahamilah isi hatinya kerana sering kali dia merasa kecil hati dengan tingkah laku Nur Aina.

Itulah kali pertama Zulfadli pulang dengan hati yang marah.

Kisah Zulfadli dan Nur Aina : Episod 2

Bila dikenang kembali, Zulfadli dan Nur Aina asalnya berkawan saja. Setiap hari mereka berbalas text, bermensi di Twitter dan berchatting di Fesbuk. Sampailah satu hari, Nur Aina mengadu pada Zulfadli bahawa dia kesunyian kerana tiada siapa di hati dia pada masa itu. Zulfadli tak terkejut, cuma dia hanya berkata pada Nur Aina supaya bersabar - mana tahu tak lama lagi dapat pengganti yang baru.

Start dari hari itu, mereka makin rapat. Secara tak sedar, dalam hati Zulfadli dah mula ada rasa sayang pada Nur Aina. Fikirannya sentiasa terarah kepada Nur Aina. Baik pagi, siang, petang mahupun malam. Hanya Nur Aina yang bermain dalam fikirannya.

Satu hari, Zulfadli ambil keputusan berani untuk menyatakan perasaannya terhadap Nur Aina. Ternyata respons yang diberikan oleh Nur Aina baik, cuma bagi Nur Aina masih terlalu awal untuk memulakan perhubungan yang lebih serius. Berikan dia sedikit masa untuk pergi lebih jauh, dan Zulfadli tiada masalah untuk itu.

Hari-hari yang berlalu dirasakan cukup sempurna oleh Zulfadli, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Nur Aina dalam hidupnya. Hidupnya penuh keceriaan, tiada lagi kedukaan dan kosong. Begitu juga dengan Nur Aina, kekosongan yang selama ini wujud dalam hatinya telah terisi dengan kehadiran Zulfadli.

Tapi itu semua sementara saja. Akhirnya hubungan mereka berdua tidak menjadi. Bagi Zulfadli, dia sudah tahu apa yang menyebabkan hati Nur Aina berpaling terus dari dia. Zulfadli tahu, Nur Aina menerima diri dia hanya kerana kesunyian dan kekosongan dalam hati Nur Aina dek kerana cinta sebelum ini tidak menjadi. Sekadar untuk menghilangkan perasaan sunyi itu, dan Zulfadli muncul tepat pada masanya dalam hidup Nur Aina. Zulfadli tak mahu salahkan Nur Aina, bagi Zulfadli itu adalah normal. Setiap orang akan menghadapi situasi tersebut. Cuma, Zulfadli sedikit terkilan kerana apa yang diharapkan olehnya tidak kesampaian.

Bak kata Ahmad Dhani - salahku biarkan kamu, bermain dengan hatiku - Zulfadli akui, kesilapan dia di situ adalah kerana terlalu mengharapkan cinta dari Nur Aina, dan mudah membiarkan hatinya dipahat dengan nama seorang insan bernama Nur Aina.

Kisah Zulfadli dan Nur Aina

Zulfadli terdiam. Bagaikan ada batu besar yang menghempap terus ke dadanya tanpa ada can untuk dia mengelak. Tak pernah seumur hidup dia merasakan perasaan yang sebegitu rupa. Baginya, inilah kali pertama dia mengalami kejutan sebegitu rupa.

Nur Aina, gadis yang dicintai olehnya telah membuat satu keputusan yang mengejutkan. Selama ini dia sangka yang hubungan dia dan Nur Aina akan kekal berlanjutan, tapi apakan daya perhubungan itu terputus di pertengahan jalan. Bunga-bunga bahagia kelihatan sepanjang perhubungan mereka, walaupun masih tiada lagi ikatan percintaan di antara mereka berdua. Tetapi, rupa-rupanya ada sesuatu yang akan menghancurkan hubungan yang baru hendak bermula itu.

Bagi Zulfadli, tiada berita yang paling menyedihkan selain daripada menerima berita sedih dari Nur Aina pagi itu. Terasa bagaikan seluruh manusia di dunia ini mengejek-ejek dirinya di atas kegagalan itu. Walhal bagi Zulfadli, dia telah melakukan segala yang terbaik - semata-mata untuk bertakhta di hati Nur Aina.

Sudahlah letih dengan beban kerja yang terlampau banyak, ditambah lagi dengan perasaan kecewa, hampir-hampir membuatkan Zulfadli hilang pertimbangan. Bayangkan, semasa memandu di terowong SMART, hampir saja meter keretanya mencecah 130 km/j - cukup untuk membuktikan betapa kecewanya hati seorang manusia yang bernama Zulfadli. Mujurlah nasihat dari seorang teman yang diungkapkan kepadanya sebelum itu membuatkan fikirannya kembali ke paras normal.

Sampai sekarang Zulfadli tertanya-tanya apakah yang menyebabkan Nur Aina sanggup mengambil keputusan sedemikian rupa. Apakah salah dia sehinggakan Nur Aina nekad dengan keputusannya itu?

Bagi Zulfadli, segala yang dilakukan olehnya selama ini benar-benar ikhlas untuk menambat hati Nur Aina. Tiada langsung niat di hati untuk mempermainkan Nur Aina, hatta melukakan hati Nur Aina. Mungkin ada sedikit kesalahan yang dilakukan oleh dia sehinggakan Nur Aina berkecil hati. Tapi Zulfadli juga seperti manusia yang lain, sering saja melakukan kesilapan, sama ada secara sedar ataupun tidak.

Tapi walau apa pun yang terjadi, dia tetap sayangkan Nur Aina. Dan dia masih berharap agar Nur Aina sudi memberikan kepadanya peluang kedua - untuk dibuktikan betapa dia ikhlas menyayangi Nur Aina. Dan sebolehnya, dia akan tetap berusaha untuk memenangi kembali hati Nur Aina - insan yang telah memberikan kebahagiaan di dalam hati Zulfadli.