1.2.11

Saya Seekor Ratatouille

Nama saya Ratatouille. Saya seekor tikus jalanan yang bersaiz XL. Saya tinggal di sebuah restoren mamak bersama sama dengan keluarga saya. Bapak saya dah lama mati, kerana dilenyek sebuah van. Mak saya pun sudah mati, selepas parah di kepala kerana dipukul dengan sebatang penyapu oleh pekerja restoran mamak tersebut. Kini yang tinggal hanyalah saya dan 8 ekor adik beradik saya yang lain. Cuma saya jarang bertegur sapa dengan mereka kerana masing masing sibuk menjalani kehidupan yang penuh dengan ranjau berduri ini.

Hobi saya adalah bermain di celah celah semak samun. Saya juga gemar berlari lari di khalayak ramai di restoran tersebut. Kadang kadang saya berlari ke arah para pelanggan di situ, dengan tujuan untuk beramah mesra dengan mereka. Tapi, kebanyakan orang menganggap saya sebagai makhluk yang menjijikkan, hanya kerana badan saya dipenuhi luka luka dan kurap.

Saya mencari makan di sekitar restoran terbabit, terutamanya di rumah sampah serta di dalam longkang. Saya memakan apa saja, termasuklah wayar elektrik, cebisan tulang ayam mahupun sampah sarap. Tapi saya lagi suka kalau dapat sekeping roti canai yang dicicah kuah dal, tapi apakan daya saya cuma seekor tikus yang tak reti untuk mencicah roti canai dengan kuah dal.

Semasa saya bersiar siar di khalayak ramai, saya sering membuatkan gadis gadis terkejut dengan kehadiran saya. Malahan, brader brader yang lepak minum kat situ turut terkejut dengan saya. Saya juga sering dibaling dengan pelbagai jenis objek seperti kotak rokok, kulit limau, gumpalan tisu, tin dan pelbagai jenis benda lagi. Tidakkah mereka tahu bahawa badan saya sakit setiap kali terkena balingan mereka? Di mana rasa belas ehsan mereka terhadap saya? Saya juga makhluk yang hidup di muka bumi ini, jadi apa salahnya saya berkongsi sedikit nikmat kehidupan yang tersedia di atas muka bumi ini?

Tapi, saya tidak menyalahkan manusia seratus peratus kerana saya tahu mereka jijik dan geli dengan saya kerana keadaan diri saya yang kotor dan gemar memakan sampah. Cuba lihat pada tikus hamster, yang juga merupakan sepupu saya. Mereka dibelai, dimanja dan disayangi kerana mereka dalam keadaan yang bersih dan comel serta tidak makan sampah sarap serta tinggal di rumah sampah. Mereka dapat tinggal di tempat yang selesa, diberi makan dan minum serta selalu dibawa ke mana saja tuan mereka pergi kerana mereka tidak seperti saya.

Apakan daya, saya hanyalah seekor tikus jalanan yang bernama Ratatouille.

No comments: