15.5.15

Abang Askar : 1

Maimunah terjaga dari tidur. Habis satu badan berpeluh, nafas tercungap-cungap. Maimunah cukup pelik dengan mimpi yang baru saja dia alami. Lama juga Maimunah termenung, memikirkan apa maksud di sebalik mimpi dia tadi. Agak lama termenung, Maimunah bangkit dan terus menyambar tuala yang tergantung di dinding. Hendak mandi, cuaca panas katanya.

Setelah selesai mandi dia terus menuju ke dapur. Peti sejuk dibuka dan Maimunah mencapai sebotol susu rendah lemak. Dituangnya susu itu ke dalam gelas lantas diminum. Ahhh, segarnya. Maimunah belek-belek botol susu tersebut dan terlihat akan tarikh luput yang tertera di atas botol. Langsung Maimunah memuntahkan semula susu yang di minum, kerana ianya telah luput 4 hari.

"Celaka!" jerit Maimunah.

Maimunah mencampakkan botol susu tersebut ke dalam tong sampah sambil meyumpah seranah di dalam hati. Kemudian Maimunah ke ruang tamu, menghempaskan punggung montoknya ke atas sofa yang dibeli dari Ikea setahun lepas. Laptop di atas meja dicapai, dan Maimunah terus membuka Facebook.

"Hmmm, facebook dah jadi tempat orang berniaga nampaknya." bisik hati Maimunah.

Bosan dengan Facebook, Maimunah cuba untuk menghiburkan diri dengan menonton video di Youtube. Istighfar panjang Maimunah setelah terlihat video Amy Timber yang menjadi kegilaan di Malaysia masa kini. Dalam hati Maimunah berharap agar tiada saudara mara dia yang bercita-cita mahu jadi seperti Amy Timber.

Tiba tiba facebook messenger Mainunah berbunyi, tanda orang menghantar pesanan. Maimunah jeling pada kotak kecik itu, tertera nama 'Abang Askar'. "Hmmm, siapa pulak ni?" getus hati kecil Maimunah. Mesej dari Abang Askar diabaikan Maimunah.

Maimunah ambil keputusan tak mahu layan kerana dia tak kenal siapa Abang Askar tu. Kalau mak atau adik dia di kampung takpelah juga Maimunah nak melayan. Ini entah siapa siapa agaknya. Bukan perangai dia melayan orang yang dia tak kenal. Entah bila agaknya Abang Askar tadi add Maimunah di Facebook.

Bersambung...

13.5.15

Rahsia

Adi garu kepala. Seingat dia semalam waktu dia pulang ke rumah benda tu masih ada di atas meja. Pagi tadi selepas mandi Adi tengok benda tu sudah tiada di atas meja. Hilang. Itu yang Adi tergaru-garu kepala walaupun kepala dia tak gatal.

Habis laci diselongkar. Masih juga tiada. Adi angkat tilam, mana tahu ada bawah tilam. Masih juga tiada. Adi lihat ke bawah katil. Masih juga tiada. Adi pelik, macam mana benda tu boleh hilang. Takkan benda tu ada kaki boleh berjalan sendiri. Adi geleng kepala.

Adi keluar dari bilik, terus ke dapur. Awalnya Adi nak tanya pada mak, tapi Adi rasa kalau dia tanya pada mak takut nanti mak pula yang membebel. Sebab memang dari dulu Adi macam ni. Adi batalkan niat, sempat Adi capai 2 ketul cekodok pisang atas meja.

Adi mundar mandir depan tv. Adik dia yang bongsu, Man jadi tak selesa. Mana tidaknya, waktu dia nak menonton kartun kegemarannya waktu itu jugalah abangnya nak berjalan depan tv. "Macam orang takde otak," getus hati kecil Man.

Adi masuk semula ke dalam bilik. Macam biasa mata Adi meliar. Lama Adi berfikir mana agaknya dia letakkan barang itu. Adi cuba ingat balik apa yang jadi malam tadi. Setahu Adi malam tadi dia melepak di kedai mamak yang selalu dia dan kawan-kawan lepak. Lepas sembang-sembang, gelak-gelak semua Adi minta izin nak balik. Dah lewat katanya, takut terserempak dengan hantu galah. Sampai saja di rumah Adi terus tuju ke bilik air untuk kencing. Baju dan seluar dicampak, tinggallah boxer saja. Seingat Adi, benda tu ada dalam poket seluar yang dipakai oleh dia malam tadi.

Adi tercari-cari di mana seluar yang dipakai oleh dia semalam. Mampuslah kalau orang lain terjumpa benda tu. Mana Adi nak letak muka nanti? Tiba-tiba Adi teringat, mesti seluar tu mak dia dah humban dalam mesin basuh dekat belakang rumah. Arghhhh, Adi jadi makin stress. Dengan pantas Adi ke belakang menuju ke arah mesin basuh namun hampa kerana kosong tak berisi.

Mata Adi tertancap ke arah ampaian di luar. Alamak, seluar yang Adi cari tadi bersidai di ampaian. Adi terus ke ampaian dan capai seluar itu. Diseluk kedua-dua belah poket namun Adi hampa. Barang yang dicari sudah tiada!

"Adi, kamu cari apa tu? Seluar tu belum kering lagi nak oiiiiii!! Macam takde seluar lain la kamu ni." bebel Mak Jah. Sambil membebel tangannya tangkas mengupas taugeh.

"Takde apa mak, Adi cari barang dalam seluar ni tapi dah takde. Mak ada nampak?" Nak tak nak Adi kena berterus terang tak boleh nak sembunyi lagi.

"Barang kamu tu ada mak letakkan atas peti sejuk, itulah tak reti langsung nak keluarkan barang dari poket. Sebelum ni plastik air pun ada dalam tu!" ngomel Mak Jah lagi. Kali ni dia menyiang ikan pulak. Pantas sungguh orang tua ini melakukan kerja dapur.

"Haaa, lagi satu. Dah gatal sangat ke nak menikah sampaikan kena guna minyak belacak tu?" tegas pertanyaan Mak Jah.

"Hehehehe. Untuk persediaan di masa akan datang la mak."

Adi berjalan sambil tunduk ke bawah dalam keadaan malu. Ini macam kalau ada makwe panggil dia pun dia tak mahu menyahut. Segan!

30.9.13

Manaf - The Unexpected Journey (Part 2)

Rumah Manaf letaknya betul-betul di hujung kampung. Kalau dari gaya memang jenis rumah tak reti nak bergaul dengan orang kampung yang lain, tapi sebenarnya Manaf baik dan peramah orangnya. Manaf juga tak kisah kalau ada orang kampung yang datang ke rumahnya lewat malam semata-mata untuk meminta tolong. Sebab tu Manaf disenangi oleh orang kampungnya, walaupun kedudukan rumahnya agak jauh dari rumah orang kampung. Manaf tinggal seorang diri di situ sejak kematian orang tuanya 5 tahun lepas. Orang tuanya meninggal dunia sebab eksiden semasa dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur. Sejak hari itu, Manaf tinggal seorang diri di rumah itu. Baru indie katanya.

Setibanya di rumah, Manaf disambut oleh Black, iaitu kucing kesayanganya. Black lah yang jadi teman serumah, teman menyembang, teman tengok tv dan teman tidur Manaf sekarang. Kalau Manaf bosan memang Black yang jadi teman Manaf bersembang. Walaupun dia sendiri tahu mustahil Black boleh faham apa yang dia kata tapi dia tetap tak peduli. Inilah dunia Manaf, di mana dia boleh hidup dengan tenang tanpa gangguan sesiapa pun. Manaf bahagia, walaupun Cuma bertemankan Black. Manaf tak pernak terfikir untuk mencari makwe atau isteri, kerana Manaf tahu perempuan ni susah nak dikawal, suka minta itu ini dan macam-macam lagi. Itu yang Manaf belajar dari drama Melayu di stesen tv swasta mahupun kerajaan.

Malam itu hujan turun dengan lebatnya. Manaf yang sedang enak diulit mimpi terjaga dari tidur setelah terdengar satu bunyi bising yang dating dari dapur. Dengan penuh hati-hati, Manaf menuju ke dapur. Di tangan Manaf tergenggam sebatang kayu yang untuk perlindungan diri. Manaf khuatir di dapurnya sekarang ada pencuri. Kalau hantu yang sedang selongkar dapurnya Manaf tak kisah, paling koman Manaf akan azan kuat-kuat dan baca ayat 3 Qul banyak kali. Tapi kalau pencuri Manaf perlu berhati-hati. Mana tahu pencuri tersebut memiliki pistol ke, mesingan ke, bazooka ke, tak ke naya Manaf nanti.

Hati Manaf berdebar-debar. Cuma tinggal beberapa langkah saja dari dapur. Keadaan gelap gelita. Manaf tak bercadang untuk membuka lampu, takut nanti yang membuat bising di dapurnya akan terkejut dan terus melarikan diri mengikut pintu belakang. Oleh kerana Manaf sudah biasa dengan selok belok rumah sendiri, maka Manaf dengan selamba berjalan dalam gelap. Di pintu dapur, Manaf masih lagi tenang mengintai apakah gerangan yang membuat bising tadi. Bila tak buka lampu payah pula nak melihat siapa yang ada di dapur. Jadi Manaf ambil keputusan untuk buka lampu dan terus terjah ke arah bunyi bising datang. Dengan lafaz Bismillah, Manaf membuka suis lampu dan terus berlari ke dapur sambil menjerit. Namun yang kelihatan hanyalah Black – yang sedang enak makan ikan goring yang Manaf simpan di dalam gobok sebelum masuk tidur tadi.

“Black, Black. Kau ni buat aku terkejut je la. Aku ingat pencuri mana la tadi yang pecah masuk, rupa-rupanya kau ye Black.” Kata Manaf dengan lemah lembut. Diusap kepala Black dengan lembut – tanpa Manaf sedari di balik tingkap ada sepasang mata yang sedang memerhatikannya. Mata yang berwarna biru tetapi bercahaya dalam gelap.

besambung...