24.2.10

Pertemuan Yang Tak Di Sangka

Semalam aku bertemu beberapa orang rakan di sebuah restoran makanan segera di Bangsar. Sedang seronok bercerita, tiba-tiba aku terpandang satu susuk tubuh yang betul-betul aku kenali. Aku tergamam, apa yang dia buat kat sini? Betulkah ini orangnya yang aku cari selama ini? Rasa teruja menghampiri aku, maklumlah ini kali pertama sejak pertemuan kami kali terakhir 5 tahun yang lepas yang penuh dengan kesedihan.

Aku mengangkat tangan, sambil memanggil namanya. Sekali, masih tak disedari. Dua kali, pun juga begitu. Masuk kali ketiga, aku menjerit agak kuat berbanding kali pertama dan kedua tadi. Syukur, dia berpaling memandang ke arahku yang sedang tersenyum dalam wajah yang paling manis. Pada riak wajahnya, tergambar juga kegembiraan yang tak terhingga. Kami saling berbalas senyuman, sambil kakiku melangkah pergi ke arahnya. Akhirnya, tangan kami bertaut kembali, berjabat tangan setelah 5 tahun tidak berbuat demikian. Kelembutan tangannya masih juga seperti dulu, yang tidak akan sesekali aku lupakan dalam ingatan ini. Senyuman manisnya yang sering aku bayangkan kini sudah betul-betul muncul di hadapanku. Tingkah lakunya masih sama seperti dulu, tidak berubah sama sekali walaupun sudah 5 tahun tidak bertemu.

Aku memperkenalkannya pada rakan-rakanku yang lain, lantas mempersilakan dia duduk menyertai kami kerana banyak soalan yang ingin aku tanyakan. Dia pun bersetuju dan terus menyertai kami. Banyak perkara yang kami bualkan, lebih kepada kenangan manis yang berlaku dulu. Tak henti-henti dia tergelak bila mengenangkan kembali kenangan yang mencuit hati. Inilah gelak tawa yang betul-betul aku rindui. Sedang asyik bercerita, tiba-tiba tanpa diduga...

...
...

Amacam? Ada bakat menulis novel cinta remaja zaman siber maju 2020 tak? Kalau berbakat, boleh print banyak-banyak pastu jual kat pasar malam takpun kat Jalan Tunku Abdul Rahman. Boleh juga masuk mana-mana pertandingan sastera, manalah tau boleh menang. Dengar khabar kalau menang ada juga can jadi buku teks sastera untuk budak-budak sekolah menengah yang nak ambil Sijil Pelajaran Malaysia.

Royalti hasil jualan buku nanti boleh juga buat tambang pergi bercuti ke Gold Coast sebulan dua. Kalau dah bosan cuba pulak lepak tengok opera kat Sydney. Sambil-sambil tu dapat la melabur dalam ASB untuk simpanan hari tua.


No comments: