3.9.12

Kisah Zulfadli dan Nur Aina : Episod 4

Zulfadli tersentak, terkejut dari lamunan. Itu cerita setahun yang lepas. Cerita yang masih lagi dia ingat, walaupun sudah setahun berlalu. Kini, perlahan perlahan Nur Aina hilang dari hidup Zulfadli. Lama Zulfadli cuba untuk membuang Nur Aina dari hatinya, tapi baru sekarang Zulfadli mampu. Sebelum ini, Zulfadli masih lagi berhubungan dengan Nur Aina - di Twitter, BBM ataupun WhatsApp - kerana Zulfadli masih lagi yakin hati Nur Aina akan terbuka untuk menerima dirinya. Tapi Zulfadli silap, dan itu adalah antara kesilapan paling besar yang pernah Zulfadli lakukan dalam hidup dia.

Zulfadli sangkakan selama ini Nur Aina masih belum mempunyai sesiapa dalam hidupnya. Mana taknya, setiap kali Zulfadli tanya mesti Nur Aina akan memberitahu dia masih lagi single mingle, tiada lelaki lain dalam hidupnya. Jadi dari situ Zulfadli masih yakin yang dia masih ada peluang, walaupun sebenarnya Zulfadli bakal mengalami keremukkan hati yang paling parah dalam hidupnya.

Ramadhan. Ya, pada bulan Ramadhan-lah hati Zulfadli hancur berkecai. Zulfadli tak mahu salahkan bulan yang baik ini, takut juga dia kalau dipanah petir. Tapi yang Zulfadli marahkan kenapa Nur Aina tidak berterus terang lama dahulu, sebelum Zulfadli meluahkan perasaan buat kali kedua. Kenapa mesti Nur Aina biarkan hati Zulfadli berbunga-bunga sedangkan dia boleh jujur dengan Zulfadli sebelum itu. Walaupun beberapa orang rakan memujuk mengatakan mungkin Nur Aina ingin menjaga hati Zulfadli, tapi bagi Zulfadli kalau boleh biar berterus terang pada awalnya - sebelum perasaan sayang makin bercambah - kerana makin lama dibiar maka akibatnya boleh menyebabkan Zulfadli terjun dari KB Mall. Mujur iman Zulfadli masih ada, paling kuat pun dia hisap sebatang rokok selang 5 minit sampailah habis sekotak.

Kalau boleh Zulfadli tak hendak lagi insan bernama Nur Aina muncul dalam hidup dia, tapi apakan daya Nur Aina masih berlegar-legar di timeline Twitter milik Zulfadli. Nak di-unfollow atau di-block Zulfadli rasa tak gentleman, maka dibiarkan saja Nur Aina berkeliaran di timeline. Sekarang Zulfadli boleh menarik nafas lega kerana sudah beberapa hari dia tak nampak Nur Aina tweet. Mungkin Nur Aina sudah tutup akaun agaknya, maklumlah sebelum ni tak habis habis Nur Aina kata ada orang stalk dia, bisik hati kecil Zulfadli.

Ah, celaka. Dah nak pukul 6 rupanya. Kejap lagi Zulfadli nak balik dari kerja. Sementara ada lagi beberapa minit ni baik dia pergi melepak dekat tangga sambil menghisap sebatang dua rokok. Baru sedap nak balik katanya.

Katanyalah.

No comments: